Balik kampung: Antara tradisi, silaturrahim dan privasi

Gambar hiasan/fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik antara tuntutan tradisi balik kampung dan keperluan privasi serta keselesaan keluarga muda.
  • Jurang nilai antara generasi memerlukan dialog empati untuk elak salah faham dan bahasa diam.
  • Pilihan inap desa atau penginapan alternatif ialah adaptasi menjaga keharmonian, privasi dan kualiti pertemuan keluarga.

Balik kampung pada setiap musim perayaan sering diraikan sebagai simbol kasih sayang, tanda hormat kepada orang tua, dan peluang mengikat semula simpulan kekeluargaan yang longgar dek kesibukan mencari rezeki, apatah lagi bagi yang di berhijrah ke kota raya.

Namun di sebalik naratif indah ini, semakin ramai terutamanya anak menantu berada dalam dilema senyap: antara memenuhi tuntutan tradisi bersilaturrahim dan menjaga keperluan asas keluarga sendiri.

Isu ini jarang diungkap secara terbuka dalam kalangan ahli keluarga. Ia bukan kerana tiada masalah, tetapi kerana terlalu banyak hati yang perlu dijaga.

Jika diamati di media sosial terutamanya di Facebook dan Treads dua tiga hari menjelang Aidilfitri ini, ia menjadi hantaran dan perbincangan terbuka.

Tradisi Lama Tidak Lagi Serupa

Rumah kampung yang suatu ketika dahulu cukup menampung sebuah keluarga kini menjadi ruang yang terhad apabila generasi telah berkembang. Anak-anak pulang bersama pasangan dan zuriat masing-masing.

Dalam keadaan ini, tidur beramai-ramai di ruang tamu, berkongsi bilik tanpa sempadan, atau berdepan dengan kekangan kemudahan asas bukan lagi sekadar pengalaman “nostalgia”.

Bagi keluarga muda, khususnya yang mempunyai anak kecil atau anak-anak remaja, isu seperti keletihan selepas perjalanan jauh, keperluan ruang rehat yang selamat, serta penjagaan aurat menjadi pertimbangan yang tidak boleh dipandang ringan.

Keselesaan di sini bukan soal kemewahan, tetapi soal fungsi agar tubuh dapat berehat dan emosi kekal stabil untuk meneruskan interaksi kekeluargaan dengan baik.

Jurang Nilai yang Tidak Terucap

Di sinilah wujudnya jurang komunikasi antara generasi. Generasi lama melihat kesempitan sebagai sebahagian daripada kehidupan yang membina ketahanan. Bagi mereka, berhimpit-himpit adalah lambang kemesraan.

Namun itu dahulu, saat masing-masing masih kecil. Malah mereka telah merasainya dan kemudian melalui landskap kehidupan yang berubah. Berhijrah ke kota untuk survival kehidupan yang lebih baik.

Berbeza dengan generasi lama, generasi kini terbentuk dalam persekitaran yang lebih menekankan sempadan peribadi, kebersihan malah kesejahteraan psikologi yang memerlukan ruang privasi sebagai asas keharmonian keluarga.

Apabila dua kerangka nilai ini bertemu tanpa dialog yang jelas, ia mudah menimbulkan salah tafsir.

Pilihan untuk mencari ruang alternatif seperti inap desa, dibimbangi dilihat sebagai “menjauhkan diri”, sedangkan hakikatnya ia sering tercetus daripada pertimbangan yang lebih kompleks.

Dilema Anak Menantu

Dalam konteks komunikasi kekeluargaan, anak menantu sering berada dalam posisi paling rapuh.

Mereka bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan budaya keluarga pasangan, tetapi juga memikul tanggungjawab emosi untuk tidak dilihat sebagai punca ketidakharmonian.

Keputusan untuk tidak bermalam di rumah kampung sering tidak disuarakan secara jujur.

Bukan kerana tidak mahu berterus terang, tetapi kerana bimbang disalah erti, bimbang dilabel tidak tahan susah, terlalu berkira, atau kurang menghormati orang tua apatah lagi digelar lupa diri.

Akhirnya, banyak perkara dipendam. Mungkin untuk beberapa tahun lamanya, ia tetap dilalui setiap Hari Raya. Antaranya isu keletihan fizikal yang melampau selepas menempuh perjalanan yang jauh, ditambah dengan kesesakan luar biasa.

Tekanan mengurus anak-anak dalam ruang yang kurang kondusif. Kegusaran menjaga batas aurat dalam suasana bercampur dan ketidakselesaan yang sukar dijelaskan tanpa menyinggung perasaan.

Semua ini menjadi “bahasa diam” dalam keluarga yang kebiasaannya tidak disebut, tetapi dirasai secara mendalam.

Menafsir Semula Pilihan Secara Empati

Dalam realiti semasa, tinggal di inap desa atau menyewa penginapan berdekatan boleh dilihat sebagai satu bentuk adaptasi, bukan penolakan terhadap tradisi apatah lagi sangkaan menghapus rasa hormat dan lupa diri.

Ia membuka ruang kepada keseimbangan yang lebih sihat iaitu untuk mengurangkan beban tuan rumah yang mungkin sudah berusia dan tidak lagi berupaya mengurus ramai anak menantu, cucu dan cicit dalam satu masa.

Menjaga privasi serta batas aurat, khususnya dalam keluarga yang mempunyai anak-anak remaja & dewasa. Meningkatkan kualiti interaksi apabila semua pihak cukup rehat, pertemuan menjadi lebih bermakna dan kurang tertekan.

Dalam masa yang sama, ia turut menyumbang kepada ekonomi komuniti setempat melalui sewaan inap desa atau seumpamanya.

Lebih penting, ia membolehkan ziarah dan pertemuan keluarga dilakukan dengan hati yang lapang dan gembira dengan senyum ikhlas bahagia, bukan dalam keadaan terpaksa atau tertekan sehingga menyebabkan riak wajah yang kurang menyenangkan.

Antara yang Terucap – Tidak Terluah

Hakikatnya, balik kampung bukan sekadar soal lokasi tidur, tetapi bagaimana hubungan itu dipelihara dalam landskap kehidupan yang semakin berubah. Tradisi kekal dihargai, tetapi perlu ditafsir semula agar selari dengan keperluan semasa.

Dalam banyak keadaan, apa yang tidak diluahkan jauh lebih besar daripada apa yang diperkatakan. Anak menantu, pasangan muda, malah anak kandung sendiri yang kian remaja & teruna, ramai yang memilih untuk berdiam demi menjaga hati pelbagai pihak.

Di sinilah pentingnya empati dalam komunikasi keluarga. Bukan sekadar mendengar apa yang diucapkan, tetapi memahami apa yang sengaja tidak diungkapkan.

Muhasabah kepada niat atau tujuan utama: Pulang berhari raya untuk mengerat kasih sayang keluarga dan mengukuh silaturrahim sanak saudara. Pulang dengan rasa tenang, teruja dan gembira; untuk merapatkan hubungan, bukan memendam rasa.

Tradisi akan terus hidup, bukan dengan memaksa keseragaman, tetapi dengan memberi ruang kepada perbezaan yang diraikan secara matang dan berhemah. Menjaga adab, batas agama dan nilai budaya kekeluargaan.

Wajah-wajah dan tangan-tangan orang tua dan kaum keluarga tetap didatangi untuk ditatap penuh kasih dan disalam cium penuh rindu dan tidak berbelah bahagi. Selamat Hari Raya Aidilfitri: Maaf Zahir dan Batin.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah
Program Komunikasi dan Media
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: rahmahtunnisah@uis.edu.my