Ayam RM4 tarikan utama PJMR di Bukit Mertajam

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim bercakap kepada media pada Program Jualan MADANI Raya (PJMR) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini / Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 15 Mac – Sebanyak 1,000 ekor ayam segar dijual pada harga serendah RM4 seekor menjadi antara tarikan utama dalam Program Jualan MADANI Raya (PJMR) 2026 yang berlangsung di Bukit Mertajam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program PJMR tawarkan barangan pada harga lebih rendah untuk meringankan beban rakyat menyambut Hari Raya.
  • Harga barangan lain seperti daging diturunkan sehingga kira-kira 30 peratus berbanding harga pasaran.
  • Sejak 2022, PJMR merekodkan jualan terkumpul melebihi RM5 juta dan memberi manfaat kepada lebih 417,000 pengunjung.

Steven Sim Chee Keong berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja menawarkan jualan barangan pada harga lebih rendah, malah membantu meringankan beban rakyat membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, ayam yang biasanya dijual sekitar RM12 seekor ditawarkan pada harga RM4 sempena promosi “happy hour” bagi 1,000 ekor pertama.

Selain ayam, harga barangan lain seperti daging turut diturunkan sehingga kira-kira 30 peratus berbanding harga pasaran.

Sejak diperkenalkan pada 2022, Program Jualan MADANI Raya merekodkan nilai jualan terkumpul melebihi RM5 juta dan memberi manfaat kepada lebih 417,000 pengunjung di seluruh negara.

Program itu turut diserikan dengan edaran bubur lambuk serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk barangan elektrik dan basikal kepada pengunjung yang bertuah.