Dua cedera rumah bekas pengarang Berita Harian terbakar

Kebakaran turut melibatkan sebuah kenderaan yang terbakar kira-kira 80 peratus

SHAH ALAM, 13 Mac – Dua individu cedera, termasuk seorang melecur tahap kedua, dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah milik bekas pengarang Berita Harian, Zubaidah Abdul Rahman, 84, di Jalan Meranti 3/7, Seksyen 3, di sini, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.23 malam; jentera tiba kira-kira lima minit kemudian.
  • Kebakaran melibatkan dua rumah teres dua tingkat, setiap rumah dianggarkan keluasan 80 kali 50 kaki persegi.
  • 22 anggota bomba dan lima jentera dikerahkan dari Shah Alam dan Bukit Jelutong; peratus kebakaran dianggarkan 90, 50 dan 80.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.23 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Al Fadil Mat Amin berkata kebakaran melibatkan dua rumah teres dua tingkat serta sebuah kenderaan.

“Kebakaran melibatkan dua buah rumah teres dua tingkat dengan anggaran keluasan setiap rumah 80 kali 50 kaki persegi.

“Peratus kebakaran bagi rumah pertama dianggarkan 90 peratus manakala rumah kedua 50 peratus. Kebakaran turut melibatkan sebuah kenderaan yang terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Seramai 22 anggota bomba bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam serta Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong dikerahkan bagi menjalankan operasi pemadaman.

Kedua-dua mangsa dilaporkan berada di luar rumah sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.