
PELABUHAN KLANG, 4 Mac – Sebanyak 32 buah kontena mengandungi 716,953 kilogram (kg) sisa elektronik berjaya dirampas hasil Op Green Shield hari ini.
- AKPS bersama agensi berkaitan merampas 32 kontena sisa elektronik melalui Op Green Shield.
- Jumlah rampasan keseluruhan ialah 716,953 kg sisa elektronik dan bahan buangan berjadual.
- 25 kontena mengandungi 546,650 kg sisa elektronik; tujuh kontena mengandungi bahan kategori SW 102 dan 422.
- Kontena disimpan di kawasan selamat menunggu notis Jabatan Alam Sekitar untuk tujuan re-ekspot.
Operasi yang diketuai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang dilaksanakan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang itu berjaya memeriksa 55 buah kontena yang dipercayai berisi sisa buangan terlarang.
Menurut kenyataan Komander AKPS Pelabuhan Klang, sebanyak 25 daripada kontena tersebut berisi sisa elektronik seberat 546,650 kg, manakala tujuh lagi kontena mengandungi bahan buangan terjadual kategori SW 102 dan 422 seberat 170,303 kg berjaya dirampas.
Pemeriksaan yang dilakukan Joint Task Force E-waste pada hari ini adalah bagi meneruskan verifikasi senarai yang telah diberikan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Klang pada tahun 2025.
Kontena yang dirampas menerusi Op Green Shield ini akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan re-export.
Tambah komander AKPS Pelabuhan Klang, agensi ini akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara disamping akan meneruskan lagi pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang.