Lelaki bersenjata ditahan berhampiran Capitol AS

Lelaki berusia 18 tahun ditahan anggota keselamatan bersama senapang patah di bangunan Capitol Amerika Syarikat (AS)/ REUTERS

WASHINGTON, 18 Februari – Seorang lelaki berusia 18 tahun ditahan selepas berlari ke arah bangunan Capitol Amerika Syarikat (AS) dengan membawa senapang patah berisi peluru pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek 18 tahun ditahan berhampiran bangunan Capitol bersama senapang patah dan peluru.
  • Motif belum diketahui; polis menemui jaket taktikal, sarung tangan, topi keledar Kevlar dan topeng gas di kenderaan suspek.
  • Kes ditangani tanpa insiden; pihak keselamatan menegaskan kesiapsiagaan menjelang ucapan State of the Union.

Menurut Ketua Polis Capitol AS, Michael Sullivan, suspek berjaya diberkas tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Gambar yang dikeluarkan Polis Capitol AS menunjukkan lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu ditahan anggota keselamatan bersama senapang patah yang dibawanya.

Motif tindakan lelaki berkenaan masih belum diketahui. Polis memaklumkan suspek memakai jaket dan sarung tangan taktikal ketika kejadian. Selain itu, sebuah topi keledar Kevlar dan topeng gas turut ditemukan di dalam kenderaan miliknya.

Sullivan berkata, suspek tiba dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih kira-kira selepas tengah hari dan meletakkan kenderaan berhampiran bangunan Capitol sebelum keluar dan berlari ke arah bangunan yang menempatkan Kongres AS.

Kemudian nggota polis mengarahkan suspek supaya meletakkan senjata. Insiden tersebut berlaku kurang tiga bulan selepas seorang anggota Pengawal Kebangsaan terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam satu serangan hendap berhampiran White House.

Presiden AS, Donald Trump, dijadualkan menyampaikan ucapan ‘State of the Union’ di bangunan Capitol minggu hadapan.

“Kami memandang serius ucapan State of the Union dan insiden ini tidak mengubah tahap kesiapsiagaan kami. Kami akan bersedia sepenuhnya pada malam tersebut,” kata Sullivan.- REUTERS