Trump desak Hamas serah senjata

Trump desak Hamas serah senjata. Foto/AFP

WASHINGTON, 16 Februari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendesak Hamas supaya menyerahkan senjata sepenuhnya bagi merealisasikan rancangannya untuk membina semula Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump meminta Hamas menyerahkan semua senjata untuk memudahkan pembinaan semula Gaza.
  • Ahli Lembaga Keamanan Gaza bersedia melabur sehingga $5 bilion untuk pemulihan.
  • Penyerahan senjata adalah syarat utama fasa kedua gencatan senjata dan pengunduran tentera Israel.
  • Hamas menolak penyerahan penuh, bimbang ia akan meningkatkan penindasan oleh rejim Zionis.

Menurut Trump, ahli yang berada di bawah Lembaga Keamanan Gaza bersedia untuk melabur sehingga $5 bilion.

“Sangat penting, Hamas mesti mengekalkan komitmennya terhadap Demilitarisasi penuh dan segera,” kata Trump dalam satu catatan di platform Truth Socialnya, menjelang Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 19 Februari di Washington.

Penyerahan senjata merupakan bahagian penting dalam fasa kedua rancangan gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober antara Israel dan Hamas bagi menamatkan konflik sejak Oktober 2023.

Fasa kedua rancangan berkenaan menetapkan bahawa tentera Israel perlu berundur secara beransur-ansur dari Gaza dan Hamas harus melucutkan senjata bagi membenarkan pasukan penstabilan antarabangsa masuk ke Gaza.

Hamas bagaimanapun menegaskan, penyerahan senjata penuh hanya akan menyebabkan Gaza menjadi lebih teruk ditindas susulan tindakan rejim Zionis yang masih membunuh penduduk tanpa sebab munasabah. – AFP