Reman lelaki tikam ibu disambung tujuh hari lagi

Foto hiasan / RTM

ALOR SETAR, 9 Februari – Tempoh reman suspek lelaki berusia 29 tahun yang disyaki menikam ibunya sehingga mati di sini, 2 Januari lalu, disambung sehingga Ahad ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Reman suspek lelaki 29 tahun disambung tujuh hari lagi hingga 15 Februari untuk siasatan.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan membabitkan kes bunuh.
  • Mangsa, Zaharullail Basir, 52, ditemui mati dengan tiga kesan tikaman dan luka di kepala muka.
  • Beg tangan mangsa hilang, mengandungi barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata, suspek sebelum ini direman selama tujuh hari yang berakhir hari ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata reman terhadap suspek disambung selama tujuh hari sehingga 15 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 2 Februari lalu, mangsa Zaharullail Basir, 52 tahun, ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara di sini.

Mangsa yang bekerja sebagai eksekutif operasi di sebuah bank dipercayai tinggal di rumah berkenaan bersama tiga anaknya.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada awal pagi itu hanya disedari salah seorang anak mangsa yang menemukan ibunya tidak sedarkan diri dan
berlumuran darah.

Hasil siasatan, terdapat tiga kesan tikaman di bahagian atas dada kiri, bahu dan pergelangan tangan.

Terdapat juga kesan luka di bahagian kepala dan muka serta luka kecil dan luka tikaman di tapak tangan kiri.

Pemeriksaan juga mendapati beg tangan mangsa yang mengandungi barangan kemas, wang tunai dan telefon bimbit, hilang.