
PUTRAJAYA, 3 Februari -Jaguh larian menara negara, Soh Wai Ching mengukir sejarah baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menamatkan pendakian Tangga Putrajaya Steps dalam tempoh kurang seminit iaitu 41.50 saat.
Larian itu dilakukan Wai Ching bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata larian berkenaan adalah untuk memberi motivasi sekali gus mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia
“Saya mahu warga Putrajaya menggunakan Tangga Putrajaya Steps sebagai tempat beriadah di samping mengurangkan berat badan dan membakar kalori. Saya menggalakkan agar warga Putrajaya untuk ke sini,” katanya demikian ketika ditemui di sini.
Terdahulu pegawai MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin menyerahkan sijil pengiktirafan rasmi itu dan disaksikan Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia, Ravinder Singh.
Beliau turut menyasarkan untuk mencipta lima lagi rekod MBOR pada tahun ini selain memecahkan lebih banyak rekod kejuaraan.
Tangga Putrajaya Steps mempunyai 198 anak tangga dengan ketinggian 30 meter dan jarak pendakian sejauh 200 meter.