Agong berkenan berangkat melawat Saint Petersburg, kota bersejarah Rusia

Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulkovo, Saint Petersburg/FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 25 Januari – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat Saint Petersburg, sebuah kota bersejarah yang menjadi antara pusat kebudayaan, seni bina dan warisan penting di Rusia.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pesawat khas Seri Paduka Baginda selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulkovo, Saint Petersburg pada 2.38 petang waktu tempatan, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin/FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Gabenor Leningrad Oblast, Alexander Yuryevich Drozdenko; Naib Gabenor Leningrad Oblast, Yaroslav Anatolyevich Serov; dan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri Saint Petersburg Evgeny Dmitrievich Grigoriev.

Turut hadir menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda ialah Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melawat Muzium Hermitage diiringi Presiden Rusia, Vladimir Putin/FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Menurut hantaran itu, lebih 160,000 rakyat Malaysia dilaporkan melawat Saint Petersburg pada tahun lepas.

“Diasaskan pada 1703, Saint Petersburg pernah berperanan sebagai ibu negara Persekutuan Rusia, selain terkenal dengan landskap seni bina klasik, serta bangunan bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

“Keunikan gabungan sejarah, seni dan keindahan bandar menjadikan Saint Petersburg sebagai antara destinasi pelancongan paling popular di Rusia serta semakin mendapat perhatian pelancong antarabangsa, termasuk dari Malaysia,” menurut hantaran itu.

Lawatan khas julung-julung kali Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg adalah atas jemputan khas Presiden Rusia, Vladimir Putin.-BERNAMA