FCoEE rangka tujuh inisiatif perkasa asnaf, pendidikan Perlis

Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin (lima kanan) bersama pensyarah, pakar dan ahli akademik pada Bengkel Pemurnian Strategik FCoEE.

KANGAR, 13 Januari -Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) merangka tujuh inisiatif utama bagi memperkasa golongan asnaf dan memperkukuh kecemerlangan pendidikan di Negeri Perlis.

RINGKASAN BERITA AI
  • FCoEE merangka tujuh inisiatif strategik 2026–2030 untuk pemberdayaan asnaf dan kecemerlangan pendidikan di Perlis.
  • Fokus utama termasuk kecerdasan buatan, PPITM, geran penyelidikan, PLC, TRIPs serta keusahawanan digital dan sukan.
  • Pelaksanaan berperingkat dengan kerjasama universiti dan agensi untuk memastikan KPI jelas dan pelaksanaan bersepadu.

Inisiatif berkenaan digariskan menerusi pelan strategik FCoEE bagi tempoh 2026 hingga 2030, sebagai rangka kerja pembangunan insan yang menyeluruh dan bersepadu.

Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, antara fokus utama ialah kecerdasan buatan dan digital, Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM) serta Geran Penyelidikan dan Pengantarabangsaan.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada Professional Learning Community (PLC) dan Program Transformasi Intelek Pelajar Perlis (TRIPs).

Empat lagi inisiatif melibatkan Pra Bimbingan Asnaf, pembangunan kesukanan, serta keusahawanan digital.

“Kesemua tujuh fokus utama ini akan dilaksanakan secara berperingkat selepas dimurnikan bagi memastikan peranan, skop dan mekanisme pelaksanaannya jelas serta saling melengkapi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian Penutup Bengkel Pemurnian Strategik FCoEE, yang menghimpunkan 20 pensyarah pakar dan ahli akademik.

Bagi memastikan setiap inisiatif mencapai petunjuk prestasi utama (KPI), FCoEE akan bekerjasama dengan pakar rujuk daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dan agensi pendidikan.

Kerjasama itu melibatkan Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Pendekatan itu memastikan pelaksanaan semua inisiatif bergerak secara bersepadu dan tidak terasing.

Melalui pelan strategik berkenaan, FCoEE kini berada pada landasan lebih jelas untuk melaksanakan agenda 2026 hingga 2030 secara berfokus, kolaboratif dan berimpak.

Usaha itu bertujuan memastikan pemberdayaan asnaf serta kecemerlangan pendidikan di Negeri Perlis terus diperkasakan secara mampan.