MCMC arah sekat sementara Grok

Sekatan sementara terhadap Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa mulai hari ini/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Januari – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara akses terhadap aplikasi kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia, berkuat kuasa mulai hari ini (11 Januari 2026).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan sementara dikenakan ke atas Grok kerana penyalahgunaan menjana kandungan lucah dan imej manipulasi tanpa persetujuan.
  • MCMC memberi notis kepada X Corp. dan xAI LLC; maklum balas hanya tumpu laporan pengguna, gagal atasi risiko reka bentuk dan operasi AI.
  • Akses kekal disekat sehingga perlindungan teknikal dan penyeliaan kandungan berkesan dilaksanakan; orang awam digesa melapor kandungan berbahaya.

MCMC memaklumkan, tindakan tersebut diambil selepas Grok didapati berulang kali digunakan untuk menghasilkan kandungan lucah dan tidak senonoh melampau, walaupun libat urus kawal selia telah dijalankan bersama X Corp. dan xAI LLC.

“Langkah itu diambil susulan penyalahgunaan Grok untuk menjana kandungan lucah, seksual eksplisit serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk melibatkan wanita dan kanak-kanak, semakin membimbangkan dan menjejaskan keselamatan awam,” jelas MCMC dalam satu kenyataan.

Menurut MCMC, notis telah dikeluarkan kepada kedua-dua syarikat itu pada 3 dan 8 Januari lalu bagi menuntut pelaksanaan langkah perlindungan teknikal serta penyeliaan kandungan yang berkesan selaras undang-undang negara.

“Bagaimanapun, maklum balas diterima hanya menumpukan mekanisme pelaporan pengguna dan gagal menangani risiko yang wujud hasil reka bentuk serta pengoperasian alat AI berkenaan,” menurut kenyataan itu.

MCMC menegaskan pendekatan itu tidak memadai, sehubungan itu sekatan dikenakan sebagai langkah pencegahan sementara proses perundangan dan kawal selia diteruskan.

Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan berkesan dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan melibatkan wanita dan kanak-kanak, dengan MCMC kekal terbuka untuk libat urus lanjut.

“Orang awam digesa melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC serta membuat laporan polis sekiranya perlu,” tambah kenyataan itu.