Usahawan Pahang sambut baik pengurangan cukai sewaan PMKS

FOTO BERNAMA

KUANTAN, 8 Januari – Pengumuman kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai perkhidmatan ke atas sewaan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada 6 peratus daripada 8 peratus Isnin lalu, disambut baik usahawan di Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurangan kadar cukai perkhidmatan sewaan kepada 6 peratus diterima baik oleh usahawan Pahang.
  • Had jualan tahunan bagi pengecualian cukai dinaikkan kepada RM1.5 juta, memberi manfaat kepada PMKS.
  • Usahawan menyatakan penjimatan cukai boleh digunakan untuk naik taraf operasi dan kembangkan perniagaan.
  • Pengecualian e-Invois mengurangkan beban pemfailan dan membolehkan fokus kepada pelanggan serta kualiti perkhidmatan.
  • PMKS baru menikmati pengecualian cukai perkhidmatan sewaan selama satu tahun dari tarikh pendaftaran.

Bagi mereka, inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilihat tepat dan bersasar kepada usahawan kecil, terutama bagi mereka yang baharu bertapak dalam bidang itu.

Selain itu, dalam pengumuman sama, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan had jualan tahunan penyewa dalam kategori PMKS yang dikecualikan daripada pembayaran cukai perkhidmatan, turut dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.

“Daripada aspek inisiatif pengecualian atau pengurangan e-Invois cukai ini, PMKS boleh fokus kepada kos-kos yang lebih penting, contohnya seperti ‘renovation’, memberi peluang pekerjaan dan mereka dapat mengurangkan kos menghadiri kelas berkaitan e-Invois, jadi ia akan menggalakkan lebih ramai masyarakat di Malaysia atau di Pahang untuk terlibat sebagai usahawan dan menggalakkan peningkatan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar ) dalam kalangan usahawan tempatan kita,” kata Pengasas Hub Usahawan Pahang, Nurliana Muhammad.

“Saya sebagai usahawan kecil rasa bangga dan gembira sebab kami baru memulakan perniagaan. Jadi, duit yang sepatutnya digunakan untuk cukai e-Invois itu boleh kami guna untuk kembangkan perniagaan, contohnya naik taraf operasi. Kalau kita tengok, kebanyakan yang baru mula berniaga, terutamanya restoran, memang agak mencabar sebab perlu menanggung kos operasi harian,” kata usahawan, Vinoshalatha Veloo.

“Kalau modal yang sepatutnya kita bayar untuk cukai itu, kita boleh gunakan sebagai modal untuk membesarkan perniagaan, nak beli barang-barang lagi, jadi memang sangat membantulah,” kata usahawan, Nor Liza Mohd Nor.

“Dengan inisiatif itu, kami rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang membuat pengecualian terhadap e-Invois. Daripada segi kewangan, kami sebagai peniaga kecil boleh melaburkan lebih banyak modal kepada produk dan penambahbaikan perniagaan. Jadi, kami tidak terlalu terbeban dengan urusan pemfailan dan boleh lebih fokus kepada pelanggan serta memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti,” kata usahawan, Nur Hezany Rosmi.

“Banyak manfaatnya, antaranya kami boleh lebih fokus kepada operasi perniagaan. Kami tidak ada tekanan tambahan, jadi lebih mudah untuk berkembang. Bukanlah kata kami abaikan perkara itu, cuma kami akan belajar perlahan-lahan, dan dalam masa yang sama ada lebih ruang serta masa untuk urus perniagaan dengan lebih baik,” kata usahawan, Nor Asikin Ahmad.

Malah, PMKS yang baharu menubuhkan perniagaan juga akan menikmati pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan bagi tempoh satu tahun bermula dari tarikh pendaftaran syarikat.