Pengekalan harga minyak di Sabah ringankan beban rakyat pedalaman

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar

KOTA KINABALU, 5 April -Langkah kerajaan Negeri Sabah mengekalkan harga minyak dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup serta memastikan bekalan bahan api terus mencukupi, terutama di kawasan yang sukar diakses.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memberi kelegaan kepada penduduk pedalaman yang bergantung kepada minyak untuk pertanian, perikanan dan pengangkutan harian.
  • Ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan atas subsidi khas bagi Sabah dan Sarawak.
  • Permintaan supaya subsidi diteruskan konsisten dan mekanisme pengagihan diperbaiki supaya lebih bersasar kepada golongan memerlukan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, berkata, keputusan itu memberikan kelegaan dengan sebahagian besar penduduk pedalaman di negeri itu bergantung kepada minyak untuk aktiviti harian seperti pertanian, perikanan dan pengangkutan.

“Kita bersyukur atas keprihatinan YAB Perdana Menteri kerana mengekalkan harga subsidi minyak diesel di Sabah dan Sarawak. Hal ini merupakan manifestasi bahawa beliau memahami keadaan geografi jalan raya serta keperluan masyarakat Sabah yang banyak menggunakan kenderaan pacuan empat roda dalam perhubungan seharian mereka,” katanya kepada pemberita, di sini.

Dalam pada itu, rata-rata penduduk, khususnya di kawasan pedalaman, berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan secara konsisten.

Ia selain penambahbaikan terhadap mekanisme pengagihan subsidi supaya lebih bersasar dan memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Bagi saya, kita masih perlu bersyukur kerana harga minyak di Sabah masih kekal seperti sedia kala. Jadi, mudah-mudahan di seluruh negara juga, apabila keadaan mengizinkan, harga minyak kita akan turun semula,” Datuk Rizalman Abdulah

“Berterima kasihlah kepada kerajaan kerana memberikan harga istimewa khusus bagi diesel dan juga petrol untuk kegunaan di negeri Sabah. Oleh itu, saya memohon agar keistimewaan ini dapat diteruskan untuk rakyat Sabah bagi mengekalkan kesejahteraan mereka, memandangkan ramai yang masih tinggal di kawasan kampung dan menghadapi kesukaran dalam perjalanan,” Kapitan Wong Tet Yun.

“Berbanyak terima kasih khususnya kepada YAB Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan yang mengekalkan harga minyak dengan subsidi, khususnya bagi rakyat Sabah dan Sarawak. Ini merupakan satu langkah kerajaan yang sangat baik, walaupun kenaikan harga minyak global meningkat mendadak ketika ini,” Stanis Buandi.