Modi hargai peranan Anwar perkukuh hubungan Malaysia–India

Perdana Menteri India, Narendra Modi / BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Februari – Perdana Menteri India, Narendra Modi merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan signifikan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan India.

RINGKASAN BERITA AI
  • Modi menghargai sumbangan signifikan Anwar dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan India.
  • Kerjasama kedua negara semakin mendalam merentasi sektor termasuk semikonduktor, pertanian, dan tenaga bersih.
  • Usaha bersama turut memfokuskan pembangunan kemahiran, pembinaan kapasiti serta kerjasama pertahanan dan keselamatan.
  • Keberhasilan kepimpinan Malaysia dalam ASEAN dijangka membuka ruang pengukuhan hubungan India dengan negara ASEAN.

Modi berkata, kerjasama Malaysia–India kini semakin mendalam merentasi pelbagai sektor, termasuk bidang baharu seperti semikonduktor, selari dengan perkembangan ekonomi dan teknologi semasa.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kepantasan serta kedalaman hubungan dua hala antara kedua-dua negara amat menginspirasikan. Sehubungan itu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan tidak ternilai Datuk Seri Anwar,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama kedua-dua negara terus diperkukuh dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, pembuatan, tenaga bersih dan semikonduktor, selain pembangunan kemahiran serta pembinaan kapasiti.

“Kerjasama pertahanan dan keselamatan antara kita juga semakin diperkasakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan bersama Anwar Mesyuarat Dua Hala Malaysia–India yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Dalam pada itu, Modi turut memuji kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun lalu, yang disifatkan sebagai berjaya dan berkesan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat bersama Malaysia akan membuka ruang lebih luas kepada India untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN pada masa hadapan.