Satu kes tibi direkodkan di Pontian babitkan murid sekolah

Foto RTM

PONTIAN, 9 Februari – Satu kes jangkitan Tuberkulosis atau Tibi dikesan melibatkan seorang murid lelaki di sebuah sekolah rendah di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang murid lelaki di sebuah sekolah rendah Pontian dikesan menghidap tibi.
  • PKD Pontian telah mengenal pasti dan mengarahkan semua kontak rapat untuk saringan di klinik.
  • Kerja sanitasi dan pembersihan menyeluruh akan dijalankan di kawasan berisiko sekolah.
  • Semua sekolah diingatkan mematuhi arahan serta garis panduan KKM dan pemantauan kesihatan.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata tindakan segera telah diambil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian dengan mengenal pasti semua kontak rapat yang terlibat, termasuk warga sekolah yang berisiko.

“Individu dikenal pasti telah dimaklumkan dan diarahkan hadir ke Klinik Kesihatan Pontian bagi menjalani saringan kesihatan mengikut prosedur serta garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kerja-kerja sanitasi dan pembersihan menyeluruh juga akan dilaksanakan di kawasan berisiko, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah serta komuniti setempat terus terpelihara.

Beliau mengingatkan semua sekolah agar sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan KKM termasuk pemantauan kesihatan murid dan warga sekolah.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengesahkan satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari hingga 4 Februari lalu.

Menurutnya, satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.