fb fb fb fb fb

Tiket aksi Harimau Malaya dan Kepulauan Solomon laris

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Sambutan jualan tiket bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Kepulauan Solomon pada 14 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, agak memberangsangkan selepas hampir 5,000 tiket terjual setakat ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman percaya perlawanan persahabatan berkenaan bakal meriah dengan penganjuran festival di pekarangan stadium bagi menyemarakkan lagi aksi tersebut.

Beliau berkata, program yang akan diadakan di pekarangan venue pada hari perlawanan termasuk aksi persahabatan antara bekas pemain Terengganu dan bekas pemain skuad kebangsaan di padang sintetik, pameran serta pertandingan bola sepak bawah umur.

(FOTO BERNAMA)

"Saya minta penyokong di Pantai Timur untuk segera beli tiket. Saya nampak sambutan agak memberangsangkan dengan adanya festival berbanding perlawanan persahabatan di Johor Mac lepas yang dijalankan pada bulan puasa,” katanya.

Awal bulan ini, FAM memaklumkan penjualan tiket bagi kedua-dua aksi menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea berharga RM30 ditetapkan bagi tempat duduk terbuka manakala RM5 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun.

Tiket hanya boleh dibeli menerusi dalam talian.

Aksi persahabatan tersebut adalah sebagai medan persediaan Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar, Januari depan.

Media Baharu