fb fb fb fb fb

Temasya SOLO 2022- Misi 16 emas kontinjen Para Malaysia bermula

SEPANG, 26 Julai- Sasaran 16 pingat emas adalah realistik bagi kontijen para negara dalam temasya sukan Para Asean Solo 2022, Indonesia yang akan membuka tirainya Sabtu ini.

Ketua kontinjen, Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin optimis kontijen para negara mampu meraih pingat emas seperti yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu beliau juga mengharapkan atlet yang pertama kali menyertai temasya itu mampu melakukan kejutan serta menampilkan aksi yang baik buat negara.

"Saya rasa sasaran itu cukup realistik kerana kita bawa juga nama besar didalam sukan ini,dan saya dapati ada juga atlet yang tidak pernah ke sukan para selepas KL17 jadi mungkin ini adalah pengalaman pertama mereka untuk ke luar negara,setelah kita hitung kita dapati 16 adalah cukup realistik.

"Insya-Allah dengan semangat yang ada pada mereka kita akan capai sekurang-kurangnya 16 seperti yang kita sasarkan," kata Md Nor.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Indonesia.

Tambah beliau, ketika ini kontijen negara berada dalam keadaan siap sedia dan telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi cabaran dalam temasya itu.

Seramai 72 atlet berlepas ke Solo, Indonesia hari ini.

Pada penampilan di Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017, kontinjen negara meraih 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan di belakang Indonesia yang mengumpul 126 emas, 75 perak dan 50 gangsa.

(Ketua kontinjen, Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin ditemui media di
Lapangan Terbang Kuala Lumpur KLIA sebelum berlepas ke Solo pagi tadi)

Media Baharu