fb fb fb fb fb

Tanpa Zii Jia, BAM kekal sasar dua pingat emas Sukan Komanwel

(Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah antara pemain muda yang sedang meningkat naik) 

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kekal dengan sasaran dua pingat emas pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham meskipun tanpa kehadiran pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, sasaran yang ditetapkan oleh badan induk badminton negara itu tidaklah begitu sukar dan yakin pemain lain juga mampu merealisasikannya.

Bagaimanapun, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia mengakui, sasaran keseluruhan tujuh pingat emas bagi kontinjen Malaysia dalam temasya sukan itu juga akan diperincikan sedikit masa lagi.

"Saya rasa sasaran sederhana dua pingat (emas) itu adalah kerana saya pengerusi jawatankuasa pemilihan untuk kontinjen negara. Jadi kem badminton hanya letak sasaran sederhana dua (emas) sahaja. Sebelum ini CDM juga beritahu mereka akan nilai semula sasaran awal iaitu tujuh pingat (emas) untuk keseluruhan kontinjen. Kami akan bincang lagi perkara ini, namun saya rasa sukan badminton mampu sumbang dua pingat (emas) dalam Sukan Komanwel," kata beliau selepas mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-6 di sini hari ini.

Tambahnya, Pengarah Kejurulatihan beregu, Rexy Mainaky dan pengarah kejurulatihan perseorangan, Wong Choong Hann telah diberi tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda negara.


(Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis
Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-6) 

Antara pemain muda yang berjaya dilahirkan BAM dan sedang meningkat naik ketika ini ialah pemain perseorangan, Ng Tze Yong dan Aidil Sholeh Ali Sadikin serta beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah.

Sementara itu Mohamad Norza memaklumkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengemukakan cadangan beberapa jenis sukan untuk dipertandingkan kepada Kemboja yang akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-32, pada tahun 2023.

Setiausaha Agungnya, Datuk Naziffudin Mohammad Najib akan membawa usul berkenaan ke Mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara, SEAGF pada 11 hingga 13 Julai depan di Phnom Penh, Kemboja.

"Sudah tentu wushu kerana sukan ini sentiasa menyumbang pingat kepada kita di peringkat Sukan SEA, kami akan bantu dan sokong mereka, selain itu, kriket juga salah satu potensi pingat kita manakala selainnya kami akan lihat justifikasi kukuh dari persatuan untuk kami masukkan dalam cadangan," menurut beliau.

Sukan SEA 2023 Kemboja dijadual berlangsung dari 5 hingga 7 Mei tahun depan.

Media Baharu