fb fb fb fb fb

Suku akhir Piala Asia: Iran singkir Jepun

Pasukan Iran meraikan kejayaan mara ke separuh akhir selepas menundukkan Jepun 2-1 / Foto Reuters

AL RAYYAN, 4 Februari - Iran membuktikan statusnya sebagai pasukan terbaik Asia apabila menyingkirkan Jepun 2-1 pada suku akhir Piala Asia 2023 malam tadi (Sabtu).

Ketua pasukan Iran, Alireza Jahanbakhsh menjadi wira selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit-minit akhir permainan pada perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Education City, di sini.

Skuad Samurai Biru terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Hidemasa Morita pada minit ke-28 yang bijak memperdayakan empat pemain pertahanan Iran sebelum merembat masuk menewaskan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand bagi menggamamkan para penyokong skuad 'Singa Parsi' yang berada dala stadium.

Iran yang tersentak dengan jaringan tersebut mula melancarkan serangan bertali arus terhadap kubu pasukan Jepun, namun, gagal mendapatkan sebarang jaringan.

Bersambung babak kedua, Iran menggandakan asakan bagi memburu penyamaan. Usaha berkenaan berhasil apabila Mohammad Mohebi yang mendapat hantaran Sardar Azmoun merembat jarak dekat melepasi penjaga gol Jepun, Zion Suzuki bagi menjadikan kedudukan terikat 1-1 pada minit ke-55.

Serangan bertubi-tubi yang dilancarkan Iran menyebabkan situasi kelam-kabut dipintu gol Jepun.

Kesempatan tersebut digunakan Iran bagi mendapatkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-94 selepas pertahanan Jepun, Ko Itakura yang menjatuhkan Hossein Kanani dalam kotak penalti selepas cuba mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Alireza Jahanbakhsh menyempurnakan penalti bagi memastikan kemaraan Iran ke separuh akhir.

Kemenangan itu sekali gus membalas dendam terhadap kekalahan yang dialami Iran yang sebelum ini tewas kepada Jepun pada Separuh akhir Piala Asia 2019.

Sementara itu, pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan, Qatar menanti Iran di separuh akhir selepas membenamkan Uzbekistan 3-2 menerusi penentuan penalti dalam satu lagi pertembungan suku akhir.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD