fb fb fb fb fb

Sukan SEA Hanoi 2021: Harimau Muda terlepas peluang tempah slot separuh akhir lebih awal

(FOTO BERNAMA)

HANOI, 14 Mei - Skuad Harimau Muda terlepas peluang muncul pasukan pertama mara ke peringkat separuh akhir saingan bola sepak lelaki.

Malaysia seri 2-2 dalam perlawanan ketiga Kumpulan B, menentang musuh tradisi, Singapura di Stadium Thien Truong.

Skuad bimbingan Brad Maloney membuka jaringan seawal minit keempat, hasil rembatan kencang penyerang Luqman Hakim Shamsudin.

Namun, Singapura yang turun dengan misi wajib menang menyamakan kedudukan tiga minit kemudian, menerusi percubaan dari luar petak penalti pemain tengah, Nur Muhammad Shah Shahiran.

(Pemain Malaysia Muhammad Faiz Amer (tiga, kiri) meraikan gol jaringannya ketika bertemu pasukan
Singapura pada saingan Sukan SEA 2021 di Stadium Thien Truong, hari ini / FOTO BERNAMA)

Masuk babak kedua, Harhys Rizal Gareth Ian Stewart meletakkan Singapura 2-1 di hadapan pada minit ke-78, sebelum Muhammad Faiz Amer Runnizar menanduk masuk gol penyamaan, empat minit kemudian.

Keputusan itu menghentikan momentum kemenangan pasukan negara, susulan dua kemenangan menewaskan Thailand dan Laos sebelum ini.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Kemboja pada hari Isnin, bakal menjadi penentu dalam pemburuan slot ke pusingan kalah mati.

Media Baharu