LONDON, 21 Oktober - Steven Gerrard dipecat sebagai pengurus Aston Villa setelah pasukannya dicemuh oleh penyokong Villa yang berang selepas persembahan buruk menerusi empat perlawawan tanpa kemenangan berturut-turut.
Keputusan dibuat pengurusan tertinggi kelab itu kurang dua jam selepas pasukan itu tewas 0-3 kepada Fulham.
Ia sekali gus menyaksikan bekas bintang Liverpool itu hanya 11 bulan berada di Villa Park.
Hanya memenangi dua perlawanan musim ini Villa berada di atas zon penyingkiran hanya disebabkan sedikit kelebihan menjaringkan gol ke atas Wolves di tangga ketiga terbawah.
Villa ketika ini bergelut dengan prestasi buruk hanya memenangi dua daripada 11 perlawanan liga, setakat ini.
Skuad The Lions kini berada di tangga ke-17, berkongsi 9 mata dengan Wolverhampton.
(Steven Gerrard/ FOTO AFP)
Gerrard memenangi gelaran Scotland sebagai 'bos Rangers' pada 2021, menamatkan tempoh dominasi Celtic setelah sekian lama menguasainya.
Namun, dia tidak dapat meneruskan kejayaanya itu sejak berpindah ke Villa Park bagi menggantikan Dean Smith yang dipecat November lalu.
Bercakap pada sidang akhbar selepas perlawanannya, Gerrard berikrar untuk menyelamatkan tugasnya.
"Saya seorang pejuang, saya tidak akan pernah berhenti, sama ada bola sepak atau dalam hidup. Kita akan lihat apa yang berlaku. Saya akan terus berjuang melainkan saya diberitahu secara berbeza," katanya.
Bagaimanapun, hanya beberapa minit selepas Gerrard bercakap kepada media, Villa mengumumkan penamatan tugas pertamanya sebagai pengurus Liga Perdana. - AFP