fb fb fb fb fb

SOJC: Australia ikat Malaysia 1-1

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 13 Oktober - Skuad remaja kebangsaan terpaksa akur terikat 1-1 dengan Australia pada aksi kedua Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, malam tadi.

Skuad muda negara tampil garang pada suku pertama dan meledak gol pembukaan pada minit ke-13, menerusi pukulan sudut penalti Azimuddin Shakir Kamaruddin.

Prestasi konsisten yang dipamerkan Skuad Young Tigers sehingga suku ketiga, berjaya menyekat Australia daripada mencipta jaringan balas.

Namun, kedudukan itu berubah apabila Australia menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Ian Grobbelaar pada minit ke-47.

Bagaimanapun ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini tetap berpuas hati terhadap prestasi dan disiplin taktikal yang ditonjolkan anak buahnya.

"Kami seri satu sama dan hampir menang. Itu satu perkara positif untuk pemain. Walaupun pemain kelihatan sedikit keletihan pada suku keempat, mereka tetap menunjukkan disiplin dan semangat tinggi sepanjang perlawanan," katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Beliau yakin keputusan itu mampu meningkatkan keyakinan pasukan menjelang aksi menentang New Zealand pada 14 Oktober nanti.

“Dengan keputusan hari ini, saya rasa pemain bersedia dari segi mental dan fizikal. Kami akan teruskan persiapan dan baiki kelemahan terutama memperkemas pertahanan ketika pukulan sudut penalti,” katanya.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN