TURIN, 18 November - Pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner bergelar pemain Itali pertama menjulang gelaran ATP akhir 2024 apabila berjaya menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Taylor Fritz di pentas akhir.
Kejayaan itu sekali gus menebus kekecewaan pemain berusia 23 tahun itu yang tumpas aksi final edisi lalu di tangan bintang Serbia, Novak Djokovic.
Saingan berlangsung di Turin, Itali itu menyaksikan, Sinner berjaya mematahkan servis Fritz dengan pukulan 'drop shot' menarik untuk mendahului 4-3.
Dia kemudian mengesahkan kemenangan 6-4 pada set pertama dengan melakukan keseluruhan 10 pukulan 'ace'.
Aksi konsisten ditampilkan pada set kedua membolehkan Sinner menutup aksi dengan kemenangan 6-4 dalam tempoh satu jam 25 minit.
Sinner mengakui kemenangan itu cukup istimewa buat diri serta tanah airnya.
Ia merupakan minggu yang cukup bermakna selepas berhempas pulas sepanjang kejuaraan.
Selaku juara, Sinner membawa pulang wang kemenangan lebih AS$4.8 juta. -REUTERS