ROME, 29 Disember-Atalanta mengekalkan kedudukan teratas Serie A pada Sabtu selepas seri 1-1 menentang Lazio, namun keputusan itu menamatkan rekod kemenangan liga mereka sebanyak 11 perlawanan berturut-turut.
Marco Brescianini menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat dengan jaringan ke gawang terbuka di Stadium Olimpico, disini, selepas Lazio dilihat berpeluang meraih kemenangan besar di hadapan penyokong tuan rumah.
Atalanta kini berada satu mata di hadapan Inter Milan, yang sebelum ini meraih kemenangan 3-0 ke atas Cagliari, meskipun Inter mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Atalanta, juara Liga Europa, akan terus menerajui liga walaupun Napoli menewaskan Venezia pada Ahad dan menyamakan 41 mata kerana memiliki perbezaan gol yang lebih baik berbanding juara 2023 itu.
Jika dua pasukan terikat mata di kedudukan teratas Serie A pada penghujung musim, mereka akan berdepan dalam perlawanan penentuan tunggal bagi menentukan juara Scudetto, yang belum pernah dimenangi Atalanta sebelum ini.
"Ini tahun terbaik dalam sejarah Atalanta.
"Kami harap 2025 juga akan sama hebat," kata jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini.
Pasukan itu menunjukkan daya juang tinggi selepas gol pembukaan Lazio menerusi Fisayo Dele-Bashiru pada minit ke-27.
Walaupun ditekan hebat pada babak pertama, Atalanta bangkit dengan gol penyamaan menerusi Brescianini hasil bantuan Ademola Lookman yang memperbaiki kesilapannya gagal menyempurnakan peluang awal.
Selepas ini, Atalanta akan beraksi dalam Piala Super Itali di Arab Saudi, menentang Inter Milan pada Khamis.
Sementara itu, Lautaro Martinez kembali menemui sentuhan jaringan apabila menjaringkan gol kedua Inter dalam kemenangan 3-0 ke atas Cagliari di Sardinia.
Inter memenangi lima perlawanan terakhir Serie A, menjaringkan 19 gol dan hanya bolos sekali, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pilihan utama mempertahankan kejuaraan liga.
Martinez, yang tidak menjaringkan gol sejak 3 November, akhirnya menamatkan kemarau golnya pada minit ke-71 menerusi hantaran Nicolo Barella.
"Paling penting, Inter menang. Jika saya dapat menjaringkan gol, itu bonus," kata Martinez.
Gol ketiga Inter disempurnakan Hakan Calhanoglu melalui sepakan penalti tujuh minit selepas jaringan Martinez.
Kekalahan ini meletakkan Cagliari dalam zon penyingkiran selepas empat kekalahan berturut-turut, ketinggalan satu mata di belakang Verona dan Como yang akan bermain pada Isnin.-AFP.