KUALA LUMPUR, 17 Disember - Semua pihak perlu menerima keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang membatalkan keputusan perlawanan membabitkan tiga aksi persahabatan antarabangsa pasukan Harimau Malaya dengan hati terbuka.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berpandangan fokus utama kini wajar diberikan kepada usaha membina semula bola sepak negara khususnya di peringkat akar umbi.
"Keputusan sudah dibuat oleh FIFA dan kita perlu terima. Bagi saya, yang paling penting sekarang adalah melihat ke hadapan dan memberi tumpuan kepada pembangunan pemain, terutamanya di peringkat akar umbi," katanya.
Mengulas mengenai hukuman tersebut, Safee berkata keputusan yang dibuat FIFA susulan pelanggaran Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA selepas FAM didapati menurunkan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1, wajar dihormati meskipun ia memberi kesan besar terhadap kedudukan ranking dunia dan laluan kelayakan Piala Asia.
Dalam pada itu, Safee turut menyatakan keyakinan terhadap semangat skuad Harimau Malaya yang bakal beraksi menentang Vietnam pada Kelayakan Piala Asia 2027 Mac depan meski situasi kelayakan semakin mencabar.
"Pemain tetap mahukan kemenangan dan tidak akan berputus asa. Selagi masih ada peluang, walaupun 50-50, mereka perlu terus berjuang dan mendapat sokongan penuh penyokong," katanya.
Terdahulu, FAM memaklumkan badan induk itu menerima hukuman 'tambahan' daripada FIFA selepas didapati melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain tidak layak dalam tiga aksi persahabatan antarabangsa.
Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada Jumaat lalu, melibatkan perlawanan menentang Cape Verde (29 Mei), Singapura (4 September) dan Palestin (8 September).