fb fb fb fb fb

"Saya adalah wanita, pingat emas ini jawapan kepada semua pembuli"- Imane Khelif

Petinju Algeria, Imane Khelif / AFP

PARIS, 10 Ogos- Petinju Algeria yang terpalit dengan jantina, Imane Khelif berkata memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris pada Jumaat adalah jawapan terbaik terhadap serangan dan buli yang dihadapinya sambil menegaskan "Saya adalah wanita seperti mana-mana wanita lain."

Khelif dengan cemerlang memenangi perlawanan akhir tinju wanita kategori 66kg di Roland Garros, setelah menjadi tumpuan di ibu kota Perancis dalam dua minggu terakhir ini.

Bersama dengan Lin Yu-ting dari Taiwan, yang bertanding dalam perlawanan akhir wanita kategori 57kg pada Sabtu, Khelif telah disingkirkan daripada kejohanan dunia tahun lalu selepas gagal dalam ujian kelayakan jantina.

Namun, mereka telah dibenarkan untuk bertanding di Paris, yang menjadikan situasi tersebut salah satu kontroversi terbesar dalam Sukan Olimpik tersebut.

Selepas menerima panggilan telefon daripada presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune, Khelif yang berusia 25 tahun itu berkata kepada beIN Sports: "Saya telah dibuli dan menjadi sasaran kempen yang ganas dan ini adalah jawapan terbaik kepada mereka."

"Saya sepenuhnya layak untuk mengambil bahagian, saya adalah wanita seperti mana-mana wanita lain. Saya dilahirkan sebagai wanita, hidup sebagai wanita, dan bertanding sebagai wanita.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menguruskan acara tinju di Paris kerana kebimbangan terhadap pengendalian sukan itu oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA).

Dalam satu sidang akhbar minggu ini, presiden IBA yang mempunyai kaitan dengan Kremlin, Umar Kremlev, mendakwa Khelif dan Lin telah menjalani "ujian genetik yang menunjukkan bahawa mereka adalah lelaki."

IBA bertanggungjawab ke atas kejohanan dunia 2023 di mana Lin dan Khelif telah disingkirkan.

IOC telah meluluskan mereka untuk bertanding di Paris.

"Mereka membenci saya dan saya tidak tahu mengapa," kata Khelif mengenai IBA.

"Saya menghantar mesej kepada mereka dengan pingat ini."-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE