(Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ditemu bual Berita RTM selepas menjadi
tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Wisma Berita, Angkasapuri)
KUALA LUMPUR, 23 Jun - Sasaran tujuh pingat emas untuk kontinjen negara di temasya Sukan Komanwel Birmingham yang bakal berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini adalah realisitik.
Demikian dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di mana sasaran tersebut dibuat berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan atlet negara di temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam, bulan lalu.
"Apabila mereka menetapkan sasaran tujuh pingat emas itu bukan satu sasaran suka-suka, mereka telah melihat prestasi atlet-atlet kita berbanding dengan atlet yang bertanding dalam Sukan Komanwel dan ini sasaran realistik yang perlu kita cuba capai bukan mudah dengan 7 pingat emas itu kita terus nak menang banyak pengorbanan titik peluh dari atlet kita dan semua terlibat untuk kita merangkul emas itu," kata beliau ketika ditemu bual Berita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Wisma Berita, Angkasapuri, di sini.
Malaysia bakal mempertaruhkan keseluruhan 107 atlet terdiri daripada 69 lelaki dan 38 wanita yang menggalas tugas untuk merealisasikan sasaran tersebut.
Ia menerusi sukan badminton selain masing-masing satu daripada gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting.
Penyertaan 107 atlet Malaysia pada edisi Sukan Komanwel kali ini adalah sedikit berkurangan berbanding pada tahun 2014 dengan 179 atlet.
(Foto fail)
Pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, kontinjen Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal memaklumkan Liga Sukan Malaysia (MSL) yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan pada bulan Mac lalu mendapat sambutan cukup menggalakkan sehingga kini.
Beliau percaya potensi MSL dalam merancakkan sukan di kalangan masyarakat dan bermula dari akar umbi harus diteruskan pada setiap tahun.
"Malah saya telah bercadang untuk memanjangkan lagi siri yang akan datang liga ini dilakukan, mungkin lebih pada satu hari ianya perlu dilakukan dalam jangka masa tiga bulan, di masa akan datang mungkin kita boleh tambah lagi acara sukan yang telah kita adakan pada tahun ini, ini kerana disebabkan sambutan yang sangat mengalakkan dari orang ramai dan permintaan agar ada sukan sukan lain dimasukkan termasuk e-sukan," menurut beliau.
Program pembangunan sukan ini dilaksanakan di seluruh negara merangkumi kawasan luar bandar, pedalaman, peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.
Antara sukan dipertandingkan adalah badminton, sepak takraw, bola jaring, bola keranjang dan futsal.