fb fb fb fb fb

Pulau Pinang sedia galas tanggungjawab salah satu hos utama Sukan SEA 2027

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen/ RTM

GEORGE TOWN, 17 Disember - Pulau Pinang kini bersedia menggalas tanggungjawab sebagai salah satu hos utama Sukan SEA 2027.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata sebagai simbolik peralihan penganjuran daripada Thailand kepada Malaysia, satu majlis khas akan diadakan di PDC Waterfront Foodie, Batu Maung pada Sabtu ini.

Majlis yang dijadualkan berlangsung bermula pukul 4 petang itu bakal menyaksikan tayangan skrin gergasi Majlis Penutupan Sukan SEA Thailand 2025 serta Upacara Penyerahan Bendera Sukan SEA kepada Malaysia.

"Pulau Pinang akan menjadi salah satu daripada empat hos utama penganjuran Sukan SEA 2027 dengan menganjurkan enam acara sukan. Saya menjemput seluruh warga Pulau Pinang hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program ini dan menyokong semangat kesukanan menjelang 2027," kata beliau.

Antara pengisian utama majlis tersebut termasuk Program Senaman Mega Aerobik yang melibatkan 700 peserta serta penampilan khas pemenang pingat emas judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed.

Amir Daniel mencuri tumpuan dunia sukan apabila menamatkan kemarau 44 tahun pingat emas acara tersebut di pentas Sukan SEA 2025.

Sebagai kemuncak, pertunjukan bunga api berlatarbelakangkan Jambatan Kedua Pulau Pinang akan dipersembahkan bagi menandakan bermulanya kiraan detik Sukan SEA Malaysia 2027.

Selain Pulau Pinang, Sarawak, Johor dan Wilayah Persekutuan turut dipilih sebagai hos bersama bagi edisi ke-34 itu nanti.

Pada Sukan SEA 2025, sejumlah 78 atlet Pulau Pinang turut menyumbang bakti menyarung jersi negara.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN