KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Juara lima kali Selangor FC membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala FA 2025/2026 selepas membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Di sebalik tentangan sengit tuan rumah, skuad Gergasi Merah berjaya mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi kapten pasukan, Mohamad Faisal Abdul Halim yang memecah benteng pertahanan NSFC sebelum menewaskan penjaga gol tuan rumah dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-34.
Memasuki babak kedua, NSFC dikejutkan seawal minit ke-46 apabila pemain import Selangor, Chrigor Flores Moraes, mudah menolak masuk bola di hadapan gawang hasil gerakan pantas sejurus sepak mula.
Selangor terus menambah tekanan ke atas pasukan tuan rumah apabila pemain import, Zach Paul John Clough, menjaringkan gol ketiga pada minit ke-56 menerusi tandukan kemas hasil hantaran Mohamad Faisal di dalam kotak penalti, menewaskan penjaga gol Muhammad Azri Ghani.
Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim cemerlang dengan ledakan gol keempat pada minit ke-63 sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Selangor yang akan melayani kunjungan NSFC dalam perlawanan kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 29 Oktober ini. -BERNAMA