fb fb fb fb fb

PFA Malaysia umum barisan jawatankuasa baharu sesi 2025–2027

Foto FB PFA Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) secara rasmi mengumumkan pembentukan jawatankuasa baharu bagi sesi 2025 hingga 2027 dalam usaha memperkukuh peranan dan suara pemain profesional di negara ini.

Mohd Razman Roslan dipilih sebagai Presiden PFAM yang baharu, manakala bekas pemain kebangsaan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, dilantik sebagai Timbalan Presiden. Jawatan Setiausaha diamanahkan kepada Mohd Farizal Marlias, sementara Steffi Sarge Kaur dilantik sebagai Bendahari.

"Turut menganggotai barisan jawatankuasa kali ini ialah wakil pemain daripada pelbagai latar belakang bola sepak tanah air, terdiri daripada Intan Sarah Anisah Zulgafli, Nurul Azurin Mazlan, Shahrul Mohd Saad, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Kenny Pallraj Davaragi," menurut PFAM dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pembentukan jawatankuasa ini mencerminkan komitmen PFAM untuk terus memperkukuh suara pemain profesional Malaysia, memperjuangkan kebajikan mereka serta memacu pembangunan bola sepak negara secara inklusif dan berstruktur.

PFAM berharap barisan kepimpinan baharu ini dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh integriti serta membawa persatuan itu ke tahap lebih cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan sesi 2025–2027.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI