fb fb fb fb fb

Peter Cklamovski, ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu

Foto FB FAM

KUALA LUMPUR, 16 Disember- Bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dari Australia diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan yang baharu.

Beliau akan memulakan tugasnya secara rasmi bermula 1 Januari ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan menyatakan, misi utama pengurus muda itu adalah memastikan skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.

Selain itu, memperbaiki ranking FIFA skuad kebangsaan naik di kedudukan 100 terbaik dunia.

Pengendali berusia 46 tahun itu juga berperanan menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap.

Ini bagi memastikan pemain yang dipanggil ke kem latihan nanti diberi tunjuk ajar yang sebaiknya.

Klamovski pernah bekerja lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015.

Sementara itu, bekas pengendali Kedah Darul Aman FC, Mohd Nafuzi Zain dilantik sebagai Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 tahun kebangsaan yang baharu.

Misi utama ditetapkan kepada jurulatih berusia 46 tahun adalah memastikan kesinambungan dalam pasukan muda yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat berpotensi untuk dinaikkan ke skuad senior.

Kredibiliti Nafuzi turut ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kurang menyinar di pentas antarabangsa.

Tugas penting Nafuzi bakal bermula musim depan iaitu memastikan anak buahnya menyinar pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.

Beliau juga akan memulakan tugasan rasmi bersama pasukan bermula 1 Januari depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM