BUENOS AIRES, 22 Julai – Perlumbaan MotoGP Argentina bakal kembali berlangsung di Buenos Aires bermula 2027 selepas tiga dekad umum Datuk Bandar Jorge Macri pada Isnin.
Sejak tahun 2014, saingan MotoGP Argentina telah diadakan di Litar Termas de Rio Hondo yang terletak di wilayah barat laut, Santiago del Estero.
Kali terakhir perlumbaan kelas utama berlangsung di Litar Oscar y Juan Galvez, di selatan Buenos Aires, adalah pada tahun 1999.
Litar bersejarah itu akan menjalani kerja-kerja naik taraf secara menyeluruh bagi menepati piawaian semasa perlumbaan MotoGP.
“Pengumuman ini cukup menggembirakan kami kerana Buenos Aires sejak dahulu lagi merupakan ibu kota industri automotif dan motosikal di rantau ini.
"Kini, bandar ini mula mengukuhkan semula kedudukan tersebut,” kata Macri.
Beliau turut menyuarakan hasrat untuk membawa semula Formula 1 ke Buenos Aires, yang pernah menjadi tanah kelahiran legenda lima kali juara dunia, Juan Manuel Fangio.
“Ini adalah langkah pertama ke arah menjadikan Buenos Aires sebagai tuan rumah Formula 1 sekali lagi,” tambahnya. - AFP