KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Pasukan pengadil Malaysia bersedia untuk menggalas tanggungjawab di Piala Dunia Bawah 20 (B-20) yang akan berlangsung di Chile dari 21 September hingga 10 Oktober ini.
Pengadil tengah, Muhammad Nazmi Nasaruddin akan dibantu dua rakan senegara, Muhammad Zairul Khalil Tan dan Mohamad Mu’azi Zainal Abidin, yang disenaraikan sebagai penolong pengadil.
“Untuk persiapan buat masa sekarang kami sudah diberikan latihan-latihan daripada sesi di dalam padang dan di luar padang termasuk sekali dengan undang-undang terkini tentang ‘law of the game’ dengan apa yang FIFA mahukan adalah yang paling penting."
“Buat masa sekarang kami telah mendapat sedikit info daripada FIFA yang mengatakan perlawanan dan kejuaraan itu akan diadakan di Santiago. Apa yang saya dan pasukan telah kaji, Santiago tu adalah satu negeri yang beraltitud tinggi. Jadi kita sudah buat persiapan rapi untuk semua ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Menandatangi Pembaharuan Perjanjian Penajaan FAM - Kronos di Hotel Concorde.
Nazmi, yang turut disenaraikan sebagai calon pengadil Piala Dunia 2026, sebelum ini mencatat sejarah menjadi pengadil Malaysia pertama mengendalikan perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) yang menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Tugasan di Chile ini dilihat sebagai platform penting untuk Nazmi dan pasukannya memperkukuh reputasi di pentas antarabangsa.