ANKARA, 20 Januari - Novak Djokovic mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia selepas menewaskan lawannya dari Perancis, Enzo Couacaud dalam perlawanan empat set pada Khamis.
Djokovic, pemegang rekod sembilan gelaran perseorangan lelaki Terbuka Australia, menang dengan 6-1, 6-7 (5-7), 6-2, 6-0 dalam perlawanan Pusingan Kedua di Rod Laver Melbourne Arena.
Pemain dari Serbia itu seterusnya akan menentang pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov, lapor Agensi Anadolu.
Sementara itu, pemain United Kingdom Andy Murray menang selepas berhempas pulas untuk menundukkan pemain Australia Thanasi Kokkinakis dalam aksi yang berlangsung di Margaret Court Arena.
Perlawanan Murray menentang Kokkinakis berlangsung selama lima jam 45 minit.
Murray memenangi pertembungan itu dengan 4-6, 6-7 (4-7), 7-6 (7-5), 6-3, 7-5. Beliau akan menentang Roberto Bautista Agut dari Sepanyol pada pusingan ketiga.
(FOTO FAIL)
Sementara itu, pemain nombor dua dunia perseorangan wanita Ons Jabeur dari Tunisia tersingkir dalam Pusingan Kedua.
Pemain Czech, Marketa Vondrousova menewaskan Jabeur 6-1, 5-7, 6-1 untuk bertemu rakan senegaranya Linda Fruhvirtova pada pusingan ketiga.
Terbuka Australia, Grand Slam pertama tahun ini akan berlangsung hingga 29 Januari. - BERNAMA