fb fb fb fb fb

Nasib menyebelahi Liverpool apabila menamatkan rentetan kekalahan - Slot

Foto AFP

LIVERPOOL, 2 November - Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui tuah akhirnya menyebelahi pasukannya selepas menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Anfield, awal pagi tadi.

Mohamed Salah muncul pemain ketiga dalam sejarah kelab menjaringkan 250 gol apabila meledak pada masa kecederaan babak pertama, sebelum Ryan Gravenberch menambah jaringan pada separuh masa kedua selepas kembali daripada kecederaan buku lali yang memaksanya terlepas tiga perlawanan.

Kemenangan itu juga menandakan kemenangan kedua Liverpool dalam lapan perlawanan terakhir di semua kejohanan.

"Jurang kemenangan sangat kecil setiap perlawanan. Hari ini, selepas lima minit mereka (Morgan Rogers) terkena palang.

"Kami tidak bolos menerusi bola mati, itu membantu, dan kali ini kami juga bernasib baik sedikit - sesuatu yang lama tidak berlaku. Gol kedua kami pun hasil sedikit nasib apabila bola terkena defleksi.

Slot menambah, kelebihan jaringan memberi peluang kepada anak buahnya untuk mengawal permainan dengan lebih baik.

"Apabila anda mendahului 1-0 atau 2-0, anda boleh menguasai permainan dengan lebih banyak mengawal bola. Tapi kalau ketinggalan, anda terpaksa mengejar dan mengambil risiko," katanya.

Kapten pasukan, Virgil van Dijk, turut meluahkan rasa lega namun mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak leka dan terus fokus selepas berdepan tekanan besar daripada penyokong serta pengkritik.

"Sekarang masa untuk kembali bekerja. Jangan terlalu gembira bila menang, dan jangan terlalu kecewa bila kalah.

"Dunia sekarang semua orang ada pendapat sendiri di pelbagai platform, seolah-olah mereka lebih tahu. Kami perlu jauhi semua itu dan fokus pada kerja keras kami," kata Van Dijk.

Van Dijk turut menyindir perubahan persepsi terhadap pasukan selepas keputusan buruk baru-baru ini.

"Musim lalu, walaupun kami buat silap, semuanya masih nampak indah. Tapi sekarang bila kalah beberapa kali, orang cakap seolah-olah kami bakal tersingkir, begitulah dunia bola sepak," katanya. - REUTERS

AZRUL FAIZAL JUSOH