BOURNEMOUTH, 16 Disember - Gol lewat perlawanan oleh Eli Junior Kroupi menyelamatkan satu mata buat Bournemouth ketika mengikat Manchester United 4-4 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang penuh dramatik di Stadium Vitality pada awal pagi Selasa.
Keputusan itu menyaksikan pasukan kendalian Ruben Amorim terlepas peluang untuk mengutip tiga mata penting bagi menyamai kedudukan Chelsea di tempat keempat liga. United kini berada di tangga keenam dengan 26 mata, manakala Bournemouth di kedudukan ke-13 dengan 21 mata.
United dilihat hampir pasti membawa pulang kemenangan selepas Bruno Fernandes dan Matheus Cunha meledak gol dalam tempoh dua minit pada separuh masa kedua untuk mendahului 4-3. Namun, Kroupi yang masuk sebagai pemain gantian memastikan Bournemouth tidak pulang tangan kosong apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-84 hasil hantaran Alejandro Jimenez dari luar kotak penalti.
Sebelum itu, United terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Amad Diallo dan Casemiro pada separuh masa pertama, namun kelebihan tersebut dipadamkan oleh gol Antoine Semenyo serta Evanilson, yang menjaringkan gol penyamaan hanya beberapa saat selepas separuh masa kedua bermula.
Bournemouth kemudian mendahului buat kali pertama menerusi sepakan percuma menarik oleh Marcus Tavernier pada minit ke-52, sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan seri selepas pertukaran jaringan yang mendebarkan.
Mengulas perlawanan, Amorim menyifatkan aksi tersebut sebagai menghiburkan, namun mengakui rasa kecewa apabila pasukannya gagal menang walaupun menjaringkan empat gol.
“Jika melihat kepada perlawanan ini, mungkin orang fikir kami kehilangan dua mata pada separuh masa kedua, tetapi bagi saya, kami kehilangannya pada separuh masa pertama. Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol dan masuk ke bilik persalinan dengan keputusan yang berbeza,” katanya.
Menurut Amorim, kegagalan mengawal tempo permainan selepas rehat menjadi punca utama United terus dibolosi.
“Ia bukan soal mentaliti, tetapi soal kefahaman terhadap situasi perlawanan dan bagaimana bermain dengan lebih bijak pada detik-detik tertentu,” tambahnya.
Sementara itu, pengendali Bournemouth, Andoni Iraola, mengakui perlawanan tersebut penuh dengan turun naik emosi, namun tetap berpuas hati dengan satu mata yang diraih.
“Ada ketika kami rasa lebih baik perlawanan tamat, kemudian tiba-tiba kami hampir menjaringkan gol. Momentum berubah-ubah. Biasanya keputusan 4-4 dikatakan tidak digemari pengurus kerana banyak kesilapan, tetapi saya lebih suka 4-4 berbanding 0-0 walaupun mata sama,” katanya.
Iraola menegaskan keputusan itu memberi ruang kepada pasukannya untuk melakukan penambahbaikan, di samping mengambil sisi positif daripada aksi berintensiti tinggi tersebut.-REUTERS