fb fb fb fb fb

Menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2022, Maloney senaraikan muka baharu hanya kekalkan 9 pemain sertai kem latihan pusat



KUALA LUMPUR, 22 Januari- Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM hari ini mengeluarkan senarai nama 30 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Brad Maloney bagi menyertai kem latihan pusat bermula Khamis, 27 Januari 2022 sebagai persiapan pasukan menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari 2022.

Menerusi satu kenyataan, FAM memaklumkan bagi kem latihan pusat kali ini, Maloney hanya mengekalkan seramai sembilan pemain dari skuad 23 pemain yang dibawa beliau ketika Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, Oktober lalu yang mana Malaysia telah menduduki tangga teratas dan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun depan.

Sembilan pemain tersebut ialah Umar Hakeem Suhar Rezwan, Shafi Azswad Sapari, Faiz Amer Runnizar, Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Azhad Harraz Arman, Nur Azfar Fikri Azhar, Syed Nasrulhaq Syed Bidin, T. Saravanan dan Aiman Afif Afizul.

Selebihnya baki pemain lain yang dipanggil kali ini terdiri daripada muka-muka baharu serta beberapa pemain yang pernah dipanggil ke kem-kem latihan pusat sebelum ini termasuk seorang pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal.

Sementara, lima pemain berikut pula berada dalam Senarai Bersedia sekiranya terdapat sebarang perubahan pada senarai 30 pemain di atas.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari 2022 bagi menghadapi tiga perlawanan Kumpulan B menentang Myanmar pada 15 Februari 2022 di Stadium Prince, Laos pada 18 Februari 2022 di Stadium Prince dan Indonesia pada 21 Februari 2022 di Stadium Nasional Morodok Techo.

Seterusnya juara Kumpulan A, B dan C serta satu pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari 2022 manakala Final dijadual berlangsung pada 26 Februari 2022. Saingan kalah mati ini berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo.

Kumpulan A menampilkan tuan rumah Kemboja, Timor-Leste, Filipina dan Brunei manakala Kumpulan C dibarisi hanya tiga pasukan iaitu Thailand, Vietnam dan Singapura.

Media Baharu