KUALA LUMPUR, 30 November - Dua jaringan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal membantu Malaysia bangkit mengatasi Kanada 3-2 pada aksi Kumpulan B, Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Piala Negara-Negara 2022 di Afrika Selatan, malam tadi.
Kemenangan tipis itu sekali gus berjaya menghidupkan kembali harapan skuad ‘Speedy Tigers’ untuk mara ke pusingan separuh akhir selepas tewas 0-1 kepada juara Piala Asia 2022, Korea Selatan.
Kanada yang menduduki ranking ke-16 dunia terlebih dahulu mengejutkan Malaysia menerusi jaringan padang Sean Davis pada minit ke-19.
Pasukan Malaysia yang menghuni ranking ke-10 dunia kemudian menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-33.
Tetapi Kanada sekali lagi menggegarkan gawang negara apabila Gordon Johnston melengkapkan pukulan sudut penalti pada minit ke-40.
Serangan bertali arus anak buah Arul Selvaraj membuahkan hasil apabila Muhammad Azrai meledak dua jaringan padang masing-masing pada minit ke-50 dan 57, sekali gus dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.