GIRONA, 10 Disember- Pengurus Liverpool, Arne Slot, menyatakan pasukannya berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan Liga Juara menentang Girona pada Selasa, selepas perlawanan hujung minggu mereka ditangguhkan.
Penjaga gol utama, Alisson Becker, juga kembali ke skuad selepas pulih daripada kecederaan.
Pembatalan perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Everton membolehkan pemain-pemain Liverpool mendapat rehat tambahan menjelang perlawanan penting di Eropah.
"Jika kami bermain dengan Everton, mungkin kami masih menggunakan pasukan sama, tetapi anda tidak tahu apa kesan jadual yang padat," kata Slot dalam sidang media sebelum perlawanan.
"Saya fikir keputusan untuk membatalkan perlawanan itu adalah tepat. Jika anda bermain perlawanan istimewa seperti itu, ia perlu dalam keadaan baik.
"Kini semua pemain benar-benar bersedia, jadi tiada sebab untuk membuat perubahan", katanya.
Slot menegaskan Liverpool perlu menang untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam kelompok lapan pasukan terbaik.
"Kami mahu kekal dalam lapan teratas, jadi kami perlu menang. Peluang pertama adalah esok," tambahnya.
Alisson, yang mengalami kecederaan hamstring sejak awal Oktober, telah kembali bersama skuad. Namun, Slot turut tidak lupa memuji prestasi penggantinya, Caoimhin Kelleher, sepanjang ketiadaan Alisson.
"Alisson cergas dan kembalinya dia adalah sesuatu yang sangat baik kerana dia telah menjadi pemain luar biasa untuk kelab ini dan untuk Brazil," kata Slot.
"Tetapi jika anda lihat bagaimana Kelleher beraksi, bukan mudah untuk mengatasinya. Dia melakukannya dengan sangat baik dan kami bertuah mempunyai dua penjaga gol hebat", jelas pengendali yang berasal dari Belanda itu.
Sementara itu, Girona, yang membuat penampilan sulung mereka di Eropah, kini berada di kedudukan ke-30 dengan tiga mata daripada lima perlawanan, tiga mata di belakang zon playoff.
Liverpool pula di persada kumpulan dengan 15 mata, dua mata di hadapan Inter Milan.-REUTERS