BUKIT KIARA, 21 Januari - Selepas membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), laluan karier pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini berdepan halangan.
BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan juara Seluruh 2021 itu menyertai sebarang kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari.
Keputusan tersebut diumumkan Timbalan Presiden II BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoss.
"Jadi bila kamu tarik diri apa badan itu boleh buat? Jadi bila kamu tarik diri badan tu kata kamu tarik diri dan kami tak dapat daftar kamu kita boleh tentukan tempoh masa tapi kita cuma ambil tempoh masa yang pernah kami buat selama dua tahun.
"Jadi itu bermakna selama dua tahun untuk hari ini BAM tidak akan daftar Lee Zii Jia untuk apa-apa kejohanan yang mana pendaftaran oleh BAM perlu dan itu tertakluk kepada proses rayuan kalau dia rayu itu cerita lain," kata Jahaberdeen
Selain Zii Jia, bekas pemain perseorangan wanita kebangsaan, Goh Jin Wei turut dikenakan tindakan sama.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi hantaran di laman media sosialnya berkata, beliau akan bertemu kedua-dua pihak dalam masa terdekat.