fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia 2026: Kosovo lebur impian Sweden

FOTO REUTERS

GOTHENBURG, 14 Oktober - Harapan Sweden untuk layak ke Piala Dunia 2026 lebur selepas tewas 0-1 kepada Kosovo dalam aksi kelayakan Kumpulan B di Stadium Ullevi, pada Isnin.

Kekalahan di laman sendiri itu merupakan kekalahan ketiga Sweden dalam empat perlawanan sekali gus menambah tekanan terhadap Ketua jurulatih skuad berkenaan, Jon Dahl Tomasson yang kini berdepan kritikan hebat susulan prestasi hambar dipamerkan pasukannya.

Dengan hanya satu mata dikutip setakat ini, Sweden kini menghuni tangga tercorot kumpulan dan mempunyai peluang tipis untuk layak ke pusingan play-off apabila baki dua perlawanan terakhir berlangsung bulan depan.

“Saya masih mempunyai kontrak dengan Persekutuan Bola Sepak Sweden dan kami masih berada dalam saingan kelayakan,” kata Tomasson kepada Viaplay ketika ditanya sama ada beliau akan meletakkan jawatan.

“Sudah tentu keputusan malam ini amat mengecewakan dan ia satu keputusan yang teruk", katanya.

Sementara itu, Kosovo melonjak ke tangga kedua kumpulan dengan tujuh mata, tiga mata di belakang pendahulu Switzerland yang seri tanpa jaringan menentang Slovenia di Ljubljana.

Hanya juara kumpulan akan layak automatik ke Piala Dunia, manakala naib juara perlu melalui pusingan play-off.

Kosovo yang sebelum ini menewaskan Sweden 2-0 di Pristina bulan lalu, sekali lagi membuktikan kemampuan mereka apabila meraih kemenangan hasil jaringan tunggal Fisnik Asllani pada minit ke-32.

Asllani menjaringkan gol antarabangsa pertamanya menerusi penyudah jarak dekat selepas gerakan cantik antara Vedat Muriqi dan Veldin Hodza berjaya menembusi benteng pertahanan Sweden yang rapuh.

Sweden menguasai permainan pada separuh masa kedua namun gagal menembusi pertahanan kosovo dengan mensia-siakan deretan peluang yang terhidang.

“Ia benar-benar menyakitkan. Kami seperti lupa cara menjaringkan gol dan saya tidak tahu mengapa,” ujar Tomasson kecewa.

Penyerang Liverpool, Alexander Isak berpeluang menyamakan kedudukan buat Sweden.

Namun, tandukan pertamanya tersasar dan percubaan keduanya melencong.

Manakala tandukannya dinafikan oleh penjaga gol Kosovo, Arijanet Muric pada masa kecederaan.

Sorakan kecewa penyokong tuan rumah bergema di Stadium Ullevi sebaik wisel penamat dibunyikan, menandakan malam suram buat Sweden serta kemenangan bersejarah untuk Kosovo. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD