fb fb fb fb fb

Kelantan United FC terkulai dilaman sendiri

KELANTAN, 27 Oktober- Kelantan United FC (KUFC) terkulai dilaman sendiri apabila dijinakkan pasukan Selangor FC 2-0 pada aksi pembuka tirai Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mohd ke-4 Kota Bharu malam tadi.

Pada perlawanan itu, pelawat dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan menerusi beberapa percubaan menarik di depan gawang tuan rumah, namun dinafikan dek ketumpulan jentera penyudah.


(Pemain Kelantan United FCK, Khairul Rizam Che Soh tampil dengan aksi kemas / Foto FB Kelantan United Football Club)

Bagaimanapun, tuan rumah cuba bangkit untuk mengimbangi permainan menerusi beberapa serangan balas tetapi gagal menemui gawang gol.

Pelawat yang mencari gol pembukaan akhirnya hadir pada minit ke-37 menerusi tandukan tepat Herlison Caion sekali gus menewaskan penjaga gawang KUFC, Mohammad Fikri Che Soh untuk membawa Selangor FC di depan 1-0.

Lapan minit berselang, tuan rumah berpeluang menyamakan kedudukan, namun rembatan Nik Azli Nik Alias tersasar dan keputusan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan United yang tampil dengan aksi lebih kemas terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat, bagaimanapun rembatan Khairul Rizam Che Soh pada minit ke-54 sekadar melewati gawang gol pelawat.

Selangor FC yang bangkit melancarkan serangan balas tiga minit selepas itu berpeluang mengukuhkan kedudukan, namun percubaan Brendan Gan dari luar kotak penalti sekadar menggegar tiang gol disaat Mohammad Fikri sudah pun tertewas.

Beraksi dalam hujan lebat tidak menyekat nafsu The Red Giants dalam menggandakan jaringan apabila penyerang import kelahiran Brazil sekali lagi membuktikan sentuhannya untuk gol kedua pelawat pada minit ke-63.

Jaringan kedua Caion nyata menaikkan lagi semangat kem Selangor FC untuk melebarkan jaringan dan peluang keemasan itu hadir pada minit ke-82, namun sepakan penalti Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi mudah dibaca Mohammad Fikri.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus bawa pulang bekalan selesa buat Selangor FC menjelang aksi kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 1 November ini.

Media Baharu