fb fb fb fb fb

JDT mulakan kempen pramusim: Catat keputusan seri 2-2 dengan kelab Slovakia, MSK Zilina

AL HANRIYA, 26 Januari - Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) memulakan persiapan pramusim di Dubai dengan keputusan seri dua sama ketika menentang kelab dari Slovakia, MSK Zilina di Stadium Al Hamriya Sports Club, malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, tiga pemain import baharu, Fernando Forestieri, Moussa Sidibe dan Bienvenido Maranon turun membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Selatan.

Pada aksi persahabatan pertama itu, JDT bermula dengan baik apabila mengejutkan lawan dengan jaringan pembukaan 30 saat selepas permainan bermula menerusi Bergson Da Silva.

Jaringan tersebut membangkitkan semangat skuad Harimau Selatan untuk terus menguasai perlawanan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, ketua jurulatihnya, Benjamin Mora membuat pertukaran pemain dengan memasukkan barisan simpanan.

Kesempatan itu digunakan oleh Zilina untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-61 melalui percubaan Timotej Jambor.

Bagaimanapun, penyerang import dari Mali, Moussa Sidibe kembali meletakkan JDT di depan apabila merembat masuk gol kedua hasil hantaran cantik Nazmi Faiz pada minit 62.

Hasrat JDT untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan tidak menjadi kenyataan apabila Zilina sekali lagi menyamakan kedudukan melalui rembatan S. Javorcek pada minit ke-88 hasil hantaran sudut.

Keputusan 2 sama kekal sehingga tamat perlawanan dan selepas ini JDT bakal meneruskan aksi persahabatan dengan kelab dari Latvia, Riga FC pada Sabtu.

 

Media Baharu