fb fb fb fb fb

Iniesta umum persaraan pada usia 40 tahun

Andres Iniesta umum persaraan pada usia 40 tahun/Foto REUTERS

BARCELONA, 9 Oktober-Bekas pemain tengah terbilang Barcelona dan Sepanyol, Andres Iniesta mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak pada Khamis selepas 24 tahun karier gemilangnya.

Iniesta, 40 tahun merupakan nadi utama pasukan Sepanyol dan Barcelona ketika mengecapi kejayaan bersama kedua-dua skuad tersebut pada penghujung tahun 2000 dan 2010.

"Hari ini saya agak emosi sedikit", kata Iniesta yang kini bermain untuk kelab Emirates di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada satu sidang media.

"Saya tidak menjangkakan harinya (bersara) akan tiba. Saya tidak pernah membayangkannya. Ini adalah tangisan emosi, kebanggaan.Ia bukan tangisan kesedihan.

"Tangisan ini merupakan tangisan bangga seorang budak lelaki dari pekan kecil seperti Fuentealbilla yang mempunyai impian bergelar bintang bola sepak.

"Kami berjaya melakukannya melalui kerja keras, pengorbanan tidak mengenal putus asa.

"Perkara tersebut menjadi perkara paling bernilai dalam kehidupan saya.

"Saya sangat berbangga dengan apa yang saya kecapi kini dan mereka yang sentiasa menemani saya sehingga kini", kata Iniesta.

Iniesta membuat 131 penampilan untuk skuad 'La roja' dan menjadi wira pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010 selepas jaringan tunggalnya ketika menentang Belanda membolehkan Sepanyol merangkul Piala Dunia buat kali pertama.

Dia turut menjadi watak penting ketika Sepanyol memenangi Kejuaraan Eropah pada 2008 sekali gus menamatkan penantian selama 44 tahun bagi merangkul kejuaraan berkenaan.

Iniesta turut membantu Sepanyol mempertahankan kejuaraan Eropah pada 2012 selain dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Sepanjang kariernya, Iniesta sembilan kejuaraan La liga, empat kejuaraan Liga Juara selain tiga kejuaraan Kelab Dunia FIFA.

Sementara itu, bintang Argentina, Lionel Messi turut merakamkan penghargaannya buat Iniesta di di laman sosial medianya.

"Iniesta merupakan salah seorang rakan sepasukan yang hebat. Saya sentiasa bersemangat ketika bermain bersama-samanya.

"Kami akan sentiasa merindui anda.Saya ucapkan selamat berjaya. Anda sememangnya fenomena", tulis Messi.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD