LONDON, 23 Oktober- Penyerang sensasi, Erling Haaland kembali meneruskan tugas di depan gawang dengan meletakkan Manchester City menang 3-1 menentang Brighton, awal pagi tadi.
Meski mencatat kekalahan menentang Liverpool minggu lalu, pemain itu kekal positif mencetak jaringan penting untuk The Citizens.
Jaringan pertama dibuka seawal minit ke-20 menerusi hantaran jauh penjaga gol City, Ederson.
Haaland yang menyedari hantaran itu segera menyudahkan peluang tersebut meski diasak dua pemain pertahanan Brighton dan kesilapan penjaga gol lawan.
20 minit kemudian, Bernardo Silva yang dikasari dalam kotak penalti menghadiahkan satu lagi peluang untuk skuad kendalian Pep Guardiola.
Haaland menyempurnakan sepakan berkenaan sekali gus menambah rekod jaringan peribadinya yang ke-17 bagi musim ini.
Masuk babak kedua permainan, City terus mendominasi namun kebangkitan Brighton merapatkan jurang jaringan menerusi sepakan padu Leandro Trossard pada minit ke-53.
Kevin De Bruyne terus memastikan kemenangan mutlak City selepas menambah jaringan dengan sepakan di luar kotak penalti menjadikan keputusan, 3-1 hingga tamat permainan.
City mengungguli kelompok tiga terbaik carta Liga Perdana Inggeris dengan 26 kutipan mata dibelakang The Gunners.
(FOTO AFP)