fb fb fb fb fb

Gerard kecewa Zii Jia tarik diri Sukan Komanwel

(Timbalan Chef de Mission (CDM), Gerard Clair Monteiro)

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Keputusan Jaguh Badminton Negara, Lee Zii Jia, menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022 boleh memberi kesan kepada sasaran yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Itu penjelasan Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Clair Monteiro yang turut kecewa dengan keputusan mengejut pemain tersebut.

MOM sebelum ini telah mengumumkan sasaran 7 pingat emas iaitu 2 dari sukan badminton dan selainnya setiap satu daripada sukan gimnastik, boling padang, angkat berat, skuasy dan power lifting.

"Saya kecewa kerana Sukan Komanwel adalah sukan untuk semua warga Malaysia. Kami juga meletakkan sandaran kepada Zii Jia untuk membawa pingat.

"Ketika ini kami masih belum menerima apa-apa perkembangan rasmi daripada MOM dan apa yang kami tahu video keputusan pemain itu telah idkeluarkan pada semalam.

"Kami kini perlu melihat kembali sasaran pingat emas yang telah ditetapkan bagi memastikan semuanya lancar," katanya kepada pemberita selepas melawat kem latihan pasukan badminton kebangsaan Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

(Syot layar Zii Jia mengumumkan untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel pada malam tadi)

Semalam, Zii Jia mengejutkan arena badminton negara apabila pemain berusia 24 tahun itu mengumumkan untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini menerusi satu video.

Alasannya kerana jadual padat yang diharunginya sejak kebelakangan ini selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, pada 22 hingga 28 Ogos ini.

Media Baharu