fb fb fb fb fb

FAM akan buat laporan polis isu pemalsuan dokumen pemain warisan

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Exco di Wisma FAM Kelana Jaya, hari ini/foto FB Football Association of Malaysia

PETALING JAYA, 22 Disember - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan dilakukan susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata tindakan itu selaras dengan syor yang dikemukakan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) dalam laporan penuh siasatan mereka.

Beliau berkata, laporan polis penting bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan dokumen yang dihantar kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Kita akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh, termasuk mengenal pasti bagaimana pemalsuan dokumen ini berlaku serta pihak yang terlibat," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Exco di Wisma FAM Kelana Jaya, hari ini.

Terdahulu, IIC yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, mengesyorkan FAM segera membuat laporan polis selepas gagal mengenal pasti secara muktamad pihak bertanggungjawab dalam kes berkenaan.

Siasatan terperinci yang dirumuskan dalam laporan mendapati beberapa kekangan utama termasuk kegagalan notari awam memberi kerjasama serta kesukaran mengesan ejen kepada pemain terbabit.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung FAM yang digantung tugas, Datuk Noor Azman Rahman, akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin FAM sebelum nasibnya diputuskan secara rasmi.

Beliau menegaskan proses tatatertib akan dilaksanakan secara bebas dan mengikut peruntukan statut serta peraturan FAM.

Beliau turut memaklumkan bahawa FIFA telah memulakan siasatan sendiri berkaitan peranan Datuk Noor Azman, khususnya melibatkan pengendalian dan penyerahan dokumen kepada badan induk bola sepak dunia itu.

Tambah beliau lagi, FAM akan memberikan kerjasama penuh kepada Lembaga Tatatertib serta FIFA bagi memastikan prinsip tadbir urus dan akauntabiliti terus dipelihara.

"Kita akan merujuk Datuk Noor Azman kepada Jawatankuasa Disiplin FAM susulan cadangan IIC. Kami juga menerima E-mel daripada FIFA yang memaklumkan mereka akan menjalankan siasatan terhadap beliau," katanya.

Datuk Noor Azman digantung tugas pada 17 Oktober lalu susulan siasatan membabitkan FIFA berhubung status tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI