HONG KONG, 25 Julai – Penyerang baharu Liverpool, Hugo Ekitike dari Perancis, menyertai rakan sepasukannya di Hong Kong, menjelang aksi persahabatan pramusim menentang AC Milan pada Sabtu ini.
Kehadiran Ekitike disambut sorakan peminat ketika beliau menyertai sesi latihan terbuka di Stadium Kai Tak, bersama pemain pertahanan Virgil Van Dijk dan rakan senegara, Ibrahima Konate.
Liverpool mengumumkan perpindahan Ekitike dari Eintracht Frankfurt semalam, dengan laporan media menyebut nilai perpindahan sebanyak £69 juta termasuk tambahan prestasi.
Ekitike menjadi pemain kedua termahal yang direkrut musim ini selepas Liverpool menandatangani pemain tengah Jerman, Florian Wirtz, pada Jun lalu dengan rekod kelab bernilai £100 juta termasuk tambahan.
Bekas pemain Paris Saint Germain itu menyerlah musim lalu dengan 15 gol dalam 33 penampilan Bundesliga, selain menjaringkan empat gol ketika membawa Frankfurt mara ke suku akhir Liga Europa.
Pemain pertahanan Liverpool, Jeremie Frimpong menyambut baik kehadiran Ekitike dan Wirtz, dua rakan lama ketika beliau beraksi di Bayer Leverkusen sebelum berhijrah ke Liverpool pada Mei lalu.
Bagaimanapun, pemain pertahanan, Harvey Elliot mengakui sedang menilai masa depannya bersama pasukan.
“Saya mahu mereka berjaya, tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu fikirkan kepentingan diri, sama ada kekal bersaing di sini atau berhijrah ke tempat lain. Buat masa ini, saya fokus sepenuhnya sebagai pemain Liverpool,” katanya.
Liverpool kini dalam siri jelajah pramusim di Asia dan bakal memulakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris di gelanggang sendiri menentang Bournemouth pada 15 Ogos depan.- REUTERS