LONDON, 1 Disember – Alexander Isak akhirnya membuka jaringan Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool, sekali gus menewaskan West Ham 2-0 dan menamatkan prestasi hambar skuad Arne Slot.
Isak yang dibeli dari Newcastle dengan nilai sekitar RM750 juta itu menamatkan kemarau 10 perlawanan tanpa gol apabila menyempurnakan hantaran Cody Gakpo pada minit ke-60 di dalam kotak penalti.
Gakpo kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol kedua pada masa kecederaan.
Slot meluahkan kelegaan terhadap kemenangan itu, sambil menekankan prestasi lebih kukuh berbanding tiga kekalahan besar sebelum ini.
“Kalau dah banyak kalah, menang jadi sangat penting. Hari ini kami tak banyak beri peluang dan berjaya cipta peluang sendiri. Ini langkah pertama yang baik untuk kami — menang, dan clean sheet,” katanya.
Liverpool, yang bergelut dengan prestasi tidak menentu Mohamed Salah, kini naik ke tangga kelapan selepas mengalami sembilan kekalahan dalam 12 perlawanan .
Ia merupakan rekod terburuk kelab sejak musim 1953 dan 1954.
Perlawanan turut menyaksikan West Ham memberi penghormatan penuh emosi kepada legenda kelab, Billy Bonds, yang meninggal dunia pada usia 79 tahun.
Namun, tuan rumah gagal memanfaatkan permulaan baik sebelum hilang rentak, termasuk layangan kad merah kepada Lucas Paquetá pada minit ke-84.
Kemenangan itu memberikan nafas baharu buat Liverpool yang kini mencari momentum untuk mengubah musim yang bergelora.