fb fb fb fb fb

Bentancur digantung tujuh perlawanan, akibat kenyataan berunsur perkauman

Foto AFP

LONDON, 18 November- Pemain tengah Tottenham Hotspur, Rodrigo Bentancur, digantung tujuh perlawanan domestik oleh Persatuan Bola Sepak (FA) pada Isnin selepas didapati bersalah membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap rakan sepasukannya, Son Heung-min, dalam satu wawancara televisyen.

FA mendakwa pemain berusia 27 tahun itu pada September, berhubung pelanggaran peraturan yang didakwa berlaku ketika wawancara di negara asalnya, Uruguay.

Bekas pemain Juventus itu turut dikenakan denda sebanyak £100,000 ($126,000).

Insiden tersebut berlaku pada bulan Jun, apabila seorang pengacara meminta jersi pemain Spurs dan Bentancur menjawab, "Sonny? Mungkin milik sepupu Sonny juga, sebab mereka semua nampak sama."

Walaupun Bentancur telah memohon maaf kepada pemain Korea Selatan itu, kenyataan tersebut diklasifikasikan sebagai pelanggaran serius.

Sebuah panel bebas diperlukan untuk menentukan sama ada dakwaan FA itu dibuktikan atau ditolak.

Panel berkenaan mengesahkan dakwaan tersebut, menyebabkan Bentancur digantung daripada tujuh perlawanan domestik.

Namun, dia masih dibenarkan bermain dalam perlawanan Liga Europa menentang Roma dan Rangers.

Dalam kenyataan, FA menjelaskan bahawa insiden itu dianggap melibatkan "pelanggaran serius kerana ia merujuk secara nyata atau tersirat kepada kewarganegaraan, bangsa, dan/atau asal etnik."

"Rodrigo Bentancur menafikan dakwaan ini, tetapi panel bebas mendapati dakwaan tersebut terbukti dan mengenakan hukuman selepas pendengaran kes," tambah kenyataan itu.

"Dia meminta maaf sejurus selepas itu, semasa cuti. Saya berada di rumah dan tidak sedar apa yang berlaku. Dia menghantar mesej panjang dan anda boleh rasakan keikhlasannya," kata Son menjelaskan perkara itu.

Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou, menyatakan bahawa Bentancur mengakui kesilapannya dan telah merayu agar diberikan kelonggaran.

Bentancur tidak akan kembali ke perlawanan domestik sehingga 26 Disember, menyebabkan dia terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City, Chelsea, dan Liverpool, serta perlawanan suku akhir Piala Liga menentang Manchester United.

Musim ini, Bentancur telah membuat 15 kali penampilan untuk Tottenham dan menjaringkan satu gol.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM